Tuesday, June 7, 2011

WANITA DAN NIQAB

Assalamualaikum.. entri paling hamba suka ^_^.. bak kata sahabat sharing is caring...
selamat membaca ...

Sebenarnya tidaklah diwajibkan ke atas kaum hawa itu untuk memakai niqab. Ini adalah berdasarkan beberapa pendapat para jumhur ulama. Dalil-dalil yang mengatakan ia wajib merupakan dalil-dalail yang sangat-sangat lemah. Namun begitu seandainya seorang wanita itu berpegang bahawa wajah itu adalah sebahagian daripada aurat maka menjadi wajiblah ke atasnya untuk menutup wajahnya. Hal ini disebabkan kita berpegang kepada apa yang kita yakini dan kita tidak wajib mengikut mazhab orang ramai, tetapi hendaklah mengikuti apa yang dia faham dan yakin yang berpandukan perbahasan-perbahasan para imam ahli sunnah wal jama`ah. Maka dengan itu terpulang la kepada wanita tersebut sama ada dia memilih untuk memakai niqab atau pun tidak. Secara peribadi ana memang suka melihat kaum hawa yang memakai purdah nampak cantik je.

Antara pendapat ulama :
Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) di dalam kitabnya المجموع Al-Majmu’ katanya: “Sesungguhnya aurat wanita yang merdeka itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan. Inilah pendapat al-Imam al-Syafi`i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah, al-Imam al-`Auza`i, al-Imam Abu Thaur dan lain-lain. Demikian juga dalam satu riwayat daripada pendapat al-Imam Ahmad” (al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 3, 169, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut)
Di zaman ini, antara ulama yang kuat menegaskan wajah wanita adalah aurat ialah al-Syeikh Ibn Baz r.h. (mufti Saudi yang telah meninggal) dalam fatwa-fatwanya yang banyak, diikuti oleh kebanyakan para ulama di Saudi. Sebelum itu `Abu al-`Ala al-Maududi r.h dalam bukunya al-Hijab. Sementara yang menyatakan wajah wanita bukan aurat adalah majoriti ulama semasa, antaranya Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunyaالنقاب للمرأة Al-Niqab li al-Marah” Al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani r.h. dalamجلباب المرأة المسلمة في الكتاب والسنة Jilbab al-Marah al-Muslimah fi al-Kitab wa al-Sunnah” dan kitabnya yang akhir sebelum beliau meninggal sebagai jawapan dan tambahan kepada kitab tersebut iaituالرد المفحم Al-Radd al-Mufhim. Begitu juga Muhammad al-Ghazali r.h. dalam banyak tempat dalam buku-bukunya.
Alasan-alasan yang dibawa oleh jumhur ulama yang menyatakan wajah wanita muslimah bukannya aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya:

-Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 31
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya:“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.
Secara akhirnya, jumhur ulama' yang menyatakan menutup muka bukan wajib adalah diterima namun disana tidak memperkecilkan golongan yang mewajibkan memakai purdah. Namun ada beberapa perkara penting yang perlu diingat:
1. Mendedahkan muka tidak semestinya seseorang wanita memenuhinya dengan make up atau berbedak-bedak.
2. Pendapat tidak wajib tidak semestinya purdah tidak harus. Sesiapa yang ingin berpurdah, tidak menjadi kesalahan bahkan digalakkan apabila ia adalah cantik dan boleh menimbulkan fitnah.
3. Antara menutup dan harus melihat bukan seiringan. Pandangan pertama sahaja yang diharuskan sekali pintas. Tidak ada pandangan kedua dan seterusnya..
Kesimpulannya, Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Hukum mendedahkan dan menutup muka adalah perkara khilafiah. Perkara khilafiah tidak boleh diperbesarkan dengan golongan pertama menyalahkan yang kedua dan sebaliknya. Tidak salah seseorang wanita ingin mendedahkan mukanya dan dan begitu juga menutupnya. Tetapi menjadi kesalahan golongan yang berpurdah menyalahkan golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya dengan alasan 'tidak boleh masuk dengan masyarakat'. Menjadi titik penting dan benda yang sangat perlu difahami oleh seluruh masyarakat agar tidak memperlekehkan sesebuah golongan yang lain.
Lebih menjadi kesalahan apabila golongan yang berpurdah memaksa golongan bertudung tidak berpurdah supaya berpurdah. Dan lebih menjadi kesalahan dan amat malang sekali, apabila sesetengah pihak memaksa golongan berpurdah supaya menanggalkan purdah dengan alasan memudahkan urusan, menyesuaikan dengan suasana dan lain lagi.
Memaksa dan meminggirkan golongan yang berpurdah oleh golongan yang bertudung tidak berpurdah dan sebaliknya adalah dua perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bahkan memaksa golongan yang berpurdah menanggalkan purdah terpengaruh dengan fahaman sekular! Kenapa tidak dipaksa golongan yang tidak menutup aurat, adakah mereka ada kebebasan individu? Golongan berpurdah dan menutup aurat tidak ada kebebasan? Dimana timbangan keadilan?
Secara rawak, mereka yang mengatakan aurat tidak wajib adalah menyimpang dari perbahasan usul sedangkan purdah sudah khilaf, inikan pula benda yang sudah menjadi nas syar'i di dalam AL Quran dan As Sunah hendak diperlekehkan dan dipermainkan.

insyaAllah melakukan perkara baik,Allah akan tolong... :)
sekian,wassalam..
hamba Allah yg sentiasa ingin mensolehahkan diri kerana Allah jua...

niqob ayat-ayat cinta...

No comments:

Post a Comment